Wasiat Syekh Abdul Muhyi kepada putra-putri dan istri-istrinya sebelum malaikat maut menjemputnya
"Hendaklah kamu sekalian bertakwa kepada Allah, berbaktilah kepada
orang tua yang telah melahirkan dan membesarkanmu, hormati dan
muliakanlah tamumu, bicaralah dengan benar, senangkanlah orang lain,
sekalipun kamu tidak dapat menyenangkan orang, janganlah kamu sedikit
berbuat yang dapat menyusahkan orang, kasihanilah orang yang kecil
hormati orang yang besar dan hargailah sesamamu,....hiduplah di dunia
ini seakan mau melintasi jurang yang penuh dengan duri...."
Ulama ini cukup terkenal dalam percakapan lisan di Jawa Barat, terutama
sekali mengenai keramat-keramatnya. Bahan mentah yang berupa cerita
lisan masyarakat yang bercorak mitos atau legenda atau dongeng yang
berbagai-bagai versi penyampaiannya lebih banyak diperoleh, jika
dibandingkan dengan berupa bahan yang bertulis. Walau bagaimanapun, ada
tiga buah manuskrip, iaitu nombor kelas LOr.7465, LOr 7527 dan LOr.7705,
di Muzium Negeri Belanda dikatakan bahawa adalah karya Syeikh Abdul
Muhyi Pamijahan.
Sewaktu penulis melanjutkan tugasan mengkatalogkan manuskrip yang
tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam (BAHAEIS), 1992, maka pada
manuskrip nombor kelas MI 839 di beberapa tempat ada menyebut nama
Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, seolah-olah naskhah itu dinuqil
daripada ajaran ulama sufi yang tersebut. Naskhah ditulis dalam bahasa
Melayu dan disalin di Pulau Pinang. Selain itu, penulis juga mempunyai
sebuah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, juga dalam bahasa Melayu,
yang membicarakan Martabat Tujuh.
Goa Pamijahan
ASAL USUL DAN PENDIDIKAN
Syeikh Haji Abdul Muhyi adalah salah seorang keturunan bangsawan.
Ayahnya bernama Sembah Lebe Warta Kusumah, adalah keturunan raja Galuh
(Pajajaran). Abdul Muhyi lahir di Mataram, Lombok, Nusa Tenggara Barat,
pada 1071 H/1660 M dan wafat di Pamijahan, Bantarkalong, Tasikmalaya,
Jawa Barat, 1151 H/1738 M. Abdul Muhyi dibesarkan di Ampel, Surabaya,
Jawa Timur. Pendidikan agama Islam pertama kali diterimanya daripada
ayahnya sendiri dan kemudian daripada para ulama yang berada di Ampel.
Dalam usia 19 tahun, ia berangkat ke Aceh untuk melanjutkan
pendidikannya dan belajar dengan Syekh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.
Lebih kurang enam tahun lamanya Syeikh Abdul Muhyi belajar dengan ulama
besar Aceh itu, iaitu dalam lingkungan tahun 1090 H/1679 M-1096 H/1684
M.
Tahun pembelajaran Syeikh Abdul Muhyi di Aceh kepada Syeikh Abdur Rauf
bin Ali al-Fansuri itu, kita dapat membandingkan dengan tahun
pembelajaran Syeikh Burhanuddin Ulakan yang dipercayai termasuk
seperguruan dengannya.
Syeikh Burhanuddin Ulakan yang berasal dari Minangkabau itu belajar
kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri bermula pada 1032 H/1622 M, tetapi
tahun ini tetap masih dipertikaikan kerana riwayat yang lain menyebut
bahawa ulama yang berasal dari Minangkabau itu dilahirkan pada tahun
1066 H/1655 M.
Maka kita perlu membandingkan dengan tahun kelahiran Syeikh Yusuf Tajul
Khalwati dari tanah Bugis-Makasar, iaitu 1036 H/1626 M, selanjutnya
keluar dari negerinya menuju ke Banten 1054 H/1644 M, seterusnya ke Aceh
belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri juga. Selain itu,
dapat juga kita bandingkan dengan tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik
(Tok Pulau Manis) Terengganu, iaitu tahun 1060 H/1650 M hingga tahun
1092 H/1681 M; Semua ulama yang tersebut dikatakan adalah murid Syeikh
Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Banyak pula ulama bercerita bahawa semua
mereka termasuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan adalah bersahabat.
Dengan perbandingan-perbandingan tahun tersebut, dapat kita ketahui
bahawa tahun-tahun itu masih bersimpangsiur, masih sukar untuk
ditahqiqkan. Yang sahih dan tahqiq hanyalah mereka adalah sebagai murid
Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Yang lebih menarik lagi,
bahawa semua mereka, kecuali Syeikh Burhanuddin Ulakan, diriwayatkan
sempat belajar ke luar negeri ke Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain.
Termasuk Syeikh Abdul Muhyi diriwayatkan adalah murid kepada Syeikh
Ibrahim al-Kurani di Mekah dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi di Madinah, yang
kedua-dua ulama itu adalah ulama ahli syariat dan haqiqat yang paling
terkenal pada zamannya.
Setelah Syeikh Abdul Muhyi lama belajar di Mekah dan Madinah, beliau
melanjutkan pelajarannya ke Baghdad. Tidak jelas berapa lama beliau
tinggal di Baghdad, tetapi diriwayatkan ketika beliau berada di Baghdad
hampir setiap hari beliau menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani
yang sangat dikaguminya.
Dalam percakapan masyarakat, Syeikh Abdul Muhyi adalah termasuk
keturunan/zuriat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Allah, Quthbul
Ghauts, yang sangat terkenal itu. Riwayat yang lain diceritakan bahawa
Syeikh Abdul Muhyi ke Baghdad dan Mekah adalah mengikuti rombongan
gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari Baghdad beliau
kembali lagi ke Mekah dan selanjutnya kembali ke Jawa dan berkahwin di
Ampel.
AKTIVITAS
Setelah selesai perkahwinan di Ampel, Syeikh Abdul Muhyi bersama isteri
dan orang tuanya berpindah ke Darma, dalam daerah Kuningan, Jawa Barat.
Selama lebih kurang tujuh tahun (1678 M-1685 M) menetap di daerah itu
mendidik masyarakat dengan ajaran agama Islam. Kemudian berpindah pula
ke daerah Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat. Di daerah itu, beliau hanya
menetap lebih kurang setahun saja (1685-1686), walau bagaimanapun beliau
berhasil menyebarkan agama Islam kepada penduduk yang ketika itu masih
menganut agama Hindu.
Pada 1686 ayahnya meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Dukuh, di
tepi Kali Cikangan. Beberapa hari selepas pemakaman ayahnya, Syeikh
Abdul Muhyi berpindah ke daerah Batuwangi. Beliau berpindah pula ke
tempat yang berhampiran dengan Batuwangi iaitu ke Lebaksiuh. Selama
lebih kurang empat tahun di Lebaksiuh (1686 M-1690 M), Syeikh Abdul
Muhyi berhasil mengislamkan penduduk yang masih beragama Hindu ketika
itu.
Menurut cerita, keberhasilannya dalam melakukan dakwah Islam terutama
kerana Syeikh Abdul Muhyi adalah seorang Wali Allah yang mempunyai
karamah, yang dapat mengalahkan bajingan-bajingan pengamal "ilmu hitam"
atau "ilmu sihir". Di sanalah Syeikh Abdul Muhyi mendirikan masjid,
tempat ia memberikan pengajian untuk mendidik para kader yang dapat
membantunya menyebarkan agama Islam lebih jauh ke bahagian selatan Jawa
Barat.
Kemudian Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke satu desa, iaitu Gua Safar Wadi
di Karang Pamijahan, Tasikmalaya, Jawa Barat. Perpindahannya ke Karang
Pamijahan itu, menurut riwayat bahawa beliau diperintahkan oleh para
Wali Allah dan perjumpaan secara rohaniah kepada Syeikh Abdul Qadir
al-Jilani, supaya beliau mencari suatu gua untuk tempat berkhalwat atau
bersuluk di Jawa Barat. Cerita mengenai ini banyak dibungai dengan
berbagai-bagai dongeng yang merupakan kepercayaan masyarakat terutama
golongan sufi yang awam.
Bagi mengimbangi cerita yang bercorak mitos itu, ada riwayat yang
bercorak sejarah, bahawa Syeikh Abdul Muhyi diundang oleh Bupati
Sukapura, Wiradadaha IV, R. Subamanggala untuk memerangi dan membasmi
ajaran-ajaran sihir yang sesat Batara Karang di Karang Pamijahan dan di
gua Safar Wadi itu. Di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat
orang-orang melakukan pertapaan kerana mengamalkan ilmu-ilmu sihirnya.
Oleh sebab Syeikh Abdul Muhyi memang hebat, beliau pula dianggap sebagai
seorang Wali Allah, maka ajaran-ajaran sihir yang sesat itu dalam waktu
yang singkat sekali dapat dihapuskannya. Penjahat-penjahat yang
senantiasa mengamalkan ilmu sihir untuk kepentingan rompakan,
penggarongan dan kejahatan-kejahatan lainnya berubah menjadi manusia
yang bertaubat pada Allah, setelah diberikan bimbingan ajaran Islam yang
suci oleh Syeikh Abdul Muhyi, Wali Allah yang tersebut itu.
Gua Safar Wadi pula bertukar menjadi tempat orang melakukan ibadat
terutama mengamalkan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tilawah al-Quran
dan lain-lain sejenisnya. Maka terkenallah tempat itu sebagai tempat
orang melakukan khalwat atau suluk yang diasaskan oleh ulama yang
terkenal itu.
Disingkatkan saja kisahnya, bahawa kita patut mengakui dan menghargai
jasa Syeikh Abdul Muhyi yang telah berhasil menyebarkan Islam di seluruh
Jawa Barat itu. Bukti bahawa beliau sangat besar pengaruhnya, sebagai
contoh Bupati Wiradadaha IV, iaitu Raden Subamanggala pernah berwasiat
bahawa jika beliau meninggal dunia supaya beliau dikuburkan di sisi
gurunya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu. Tempat tersebut sekarang lebih
dikenali dengan nama Dalem Pamijahan.
Murid-murid yang tertentu, Syeikh Abdul Muhyi mentawajjuhkannya menurut
metod atau kaedah Thariqat Syathariyah yang salasilahnya diterima
daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun tarekat yang
sama diterimanya juga kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, iaitu guru juga
kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, namun Syeikh Abdul Muhyi memulakan
salasilahnya tetap menyebut Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hal
demikian kerana tarekat yang tersebut memang terlebih dulu diterimanya
daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al Fansuri.
Setelah beliau ke Mekah, diterimanya tawajjuh lagi daripada Syeikh Ahmad
al-Qusyasyi itu. Maka berkembanglah Thariqat Syathariyah yang berasal
daripada penyebaran Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu di
tempat-tempat yang tersebut, melalui bai'ah, tawajjuh, dan tarbiyah
ruhaniyah yang dilakukan oleh Syeikh Abdul Muhyi muridnya itu.
KETURUNAN
Menurut riwayat, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan mempunyai empat isteri.
Hasil erkahwinannya itu, beliau memperoleh seramai 18 anak. Menerusi
Raden Ayu Bakta, memperoleh anak bernama Kiyai Haji Muhyiddin atau
digelar Dalem Bojong. Namun menurut Aliefya M. Santrie, dalam buku
Warisan Intelektual Islam Indonesia, setelah beliau pulang dari
Pamijahan beliau menemukan satu artikel dalam majalah Poesaka Soenda
yang menunjukkan bahawa tidak identiknya Kiyai Haji Muhyiddin dengan
Dalem Bojong.
Kedua-duanya memang anak Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, tetapi Kiyai Haji
Muhyiddin personaliti tersendiri dan Dalem Bojong personaliti yang lain
pula. Menurutnya makam Kiyai Haji Muhyiddin dalam majalah itu disebut
namanya yang lain, iaitu Bagus Muhyiddin Ajidin, terletak di sebelah
selatan makam Syeikh Abdul Muhyi, sedang makam Dalem Bojong terletak di
sebelah timur.
Barangkali keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu sangat ramai yang
menjadi ulama di daerah Jawa Barat, sewaktu penulis berulang-alik di
Pondok Gentur, Cianjur (1986 M-1987 M) difahamkan bahawa Kiyai Haji Aang
Nuh di pondok pesantren adalah termasuk keturunan Syeikh Abdul Muhyi
Pamijahan. Penulis sendiri menerima beberapa amalan wirid dari kiyai itu
dan ternyata memang terdapat hadiah al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Muhyi
Pamijahan dan beberapa ulama lainnya untuk memulakan amalan.
Dari Kiyai Haji Aang Nuh juga, penulis mendengar cerita-cerita yang
menarik mengenai Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sampai sekarang Pondok
pesantren Gentur dikunjungi mereka yang mempunyai permasalahan yang
sukar diselesaikan dari seluruh Indonesia, tempat itu sentiasa ramai
kerana doa kiyai itu dianggap mustajab.
Di Pondok-pesantren Gentur itu tidak mengajar disiplin ilmu sebagai
pondok-pesantren lainnya, di situ hanya mengajar amalan-amalan wirid
terutama selawat atas Nabi Muhammad. Penulis sempat mewawancara
pengunjungnya, menurut mereka wirid atau amalan yang diterima dari kiyai
itu terbukti mustajab.
PENYELIDIKAN ILMIYAH
Oleh sebab kepopularan ulama yang dianggap Wali Allah ini, beberapa
sejarawan, budayawan dan lain-lain telah berusaha menyelidiki biografi
ulama yang berasal dari Pulau Lombok itu. Di antara mereka umpamanya
seorang Belanda, Snouck Hurgranje, pernah mengembara di Jawa Barat dan
di Sukabumi menemukan beberapa naskhah karya yang dibangsakannya kepada
karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.
R. Abdullah Apap ibn R. Haji Miftah menyusun sebuah buku berjudul,
Sejarah Pamijahan: Kisah Perjuangan Syeik Haji Abdulmuhyi Mengembangkan
Agama Islam di Sekitar Jabar. Aliefya M. Santrie menulis artikel
Martabat (Alam) Tujuh Suatu Naskah Mistik Islam Dari Desa Karang,
Pamijahan. Dan ramai lagi tokoh yang membuat kajian mengenai ulama yang
dibicarakan ini.
Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada
pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis
dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan
naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi,
yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang
banyak persamaan.
Demikian juga dengan manuskrip koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia
nombor kelas MI 839, membicarakan Martabat Tujuh yang merupakan nukilan
karya Syeikh Abdul Muhyi itu.
Sungguhpun demikian perlu kita ketahui bahawa ajaran Martabat Tujuh
sebenarnya bukanlah ciptaan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan tetapi yang
pertama membicarakan ajaran itu ialah dalam kitab bahasa Arab berjudul
Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanpuri.
Kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi.
Martabat Tujuh dalam bahasa Melayu selain yang dibicarakan oleh Syeikh
Abdul Muhyi Pamijahan juga banyak, dimulai oleh ulama-ulama tasawuf di
Aceh, diikuti oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan Ad-Durrun
Nafisnya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga membicarakannya dalam
Siyarus Salikin, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalus
Shafi dan ramai lagi.
Oleh itu, perkembangan ilmu tersebut di dunia Melayu tumbuh subur, tak
ubahnya seperti perkembangan ilmu tauhid metode sifat 20 dan fiqh
menurut Mazhab Syafie pada zaman itu.
Sebagai menutup artikel ini, perlu juga penulis sebutkan sungguhpun
Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan terkenal di seluruh Jawa Barat tetapi
riwayat hidupnya hampir-hampir tak dikenal di dunia Melayu lainnya. Oleh
itu, artikel ini adalah satu usaha memperkenalkannya yang disejajarkan
dengan ulama-ulama terkenal yang lain, yang hidup sezaman dengannya,
iaitu Syeikh Abdul Malik Terengganu Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh
Yusuf Khalwati, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani dan ramai lagi.